Friday, 19 July 2013

Jodoh dan Felani Bin Mohd Tauhed

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bila sebut JODOH.. pastinya kita tahu itu salah satu rahsia ALLAH kerana ia tergolong akan perkara-perkara ghaib.

Bila masuk Ramadhan pada tahun ini, sebenarnya saya teringat akan Ramadhan tahun lepas. Salah satu doa yang amat saya mohon pada ALLAH adalah “dipermudahkan jodoh”.  Doa dipanjatkan terutama pada waktu yang dikatakan ‘mustajab’ iaitu pada waktu tengah malam dan waktu menghampiri berbuka puasa. Ternyata ALLAH Maha Mendengar, Maha Mengabulkan, Maha Pengasih, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa akan doa dan isi hati saya.

Sumber: Google

Pertemuan tanpa dirancang dengan lelaki bernama Felani Bin Mohd Tauhed ditakdirkan ALLAH pada hari Raya setelah sepanjang bulan Ramadhan saya berdoa. Saya tak berapa ingat mungkin pada minggu ke-2 bulan Syawal. Lelaki itu adalah abang sulung kepada kawan rapat saya di UKM iaitu Siti Sarah Binti Mohd Tauhed. Kami rapat semenjak menjadi JAKSA di kolej di UKM atau lebih tepat kami rapat kerana kami gemar membincangkan hal ehwal agama atau topik berkisarkan manusia dan agama.

Saya dan Sarah menjadi rapat sejak program BAKSIS KUO di
perkampungan orang Jawa, Selangor (Januari 2012)
Sarah bersama abang sulongnya, Felani di majlis pertunangan saya dan Felani
Pelik bin ajaib. Itulah manusia. Apabila memerlukan bukan main berdoa segala macam. Tapi bila ALLAH dah makbulkan.. sama ada lupa diri seketika atau menolak kerana bersangka ‘pilihan sendiri’ lebih baik. Maka untuk apa berdoa? Perkara ini membuat saya kembali berfikir. Tentang apa tujuan saya yang sebenar. 

Tinggal beberapa bulan tak lama dan tak juga sekejap.. majlis pernikahan saya dengan lelaki itu dengan izin ALLAH juga akan berlaku. Sebenarnya saya ingin pinda tarikh pernikahan atas alasan tertentu, tetapi entah kenapa saya percaya tarikh itu telah ditentukan oleh ALLAH. Saya ingin bertawakal dan redha.

Dalam keadaan sedar akan beberapa bulan sahaja sebelum menempuh alam perkahwinan, kadangkala kedengaran syaitan cuba membisik-bisikkan dalam hati saya yang lemah iman ini tentang banyak perkara. Perkara yang membuat saya menjadi tawar hati, berasa ragu-ragu dan was-was akan tindakan saya ini. Persoalan yang dilontarkan; “Betulkah aku akan berkahwin?”, “Betulkah aku akan mengahwini lelaki yang aku tak berapa kenali ini?” dan sebagainya.

Cerita ini tidak lain adalah untuk berkongsi menyelidiki semula hati kita yang kadangkala tidak sehaluan dengan tingkah laku disebabkan anasir-anasir luar atau lemahnya iman dan pendirian kita terhadap sesuatu.

Oleh itu saya ingin sentiasa sedar diri dan mengingatkan diri saya yang 'sebenar'. Untuk diri yang lemah ini... 

“Tahukah aku, betapa untungnya aku kerana setiap hajatku pasti ALLAH dengar dan mengabulkannya dalam sekelip mata. Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Maka beranikah aku sekarang ingin mengingkari akan takdir / nikmat/‘jawapan’ yang telah ALLAH berikan.. sedarlah diri, betapa lemah dan kerdilnya diriku berbanding dengan kuasa ALLAH yang amat luas.

“Tahukah aku, walaupun lelaki itu bukanlah pilihanku sendiri, tetapi ALLAH telah memudahkanku bertemu dengannya. Maka itulah pilihan ALLAH.  Bukankah pilihan ALLAH atau takdir ALLAH itu lebih baik. Ingatlah kata-kata ini; Sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hambanya melainkan hambanya sendiri yang menzalimi diri sendiri.”

"Sekalipun aku mengenalinya namun tidak semestinya dia adalah dia yang sebenar. Kerana apabila aku duduk serumah/sebilik dengannya pada masa itu barulah aku mengenalinya yang sebenarnya. Bercinta selepas bernikah itu lebih baik dan manis. Ambillah peluang bertunang ini untuk mengenalinya. Gunakanlah nikmat pernikahan itu nanti untuk mencintainya".

"Wahai diriku, sedarlah akan diri sendiri. Usahlah takut akan masa hadapan yang kamu sendiri tidak pasti kerana syaitan itu suka menakut-nakutkan kamu apatah lagi akan perkara yang baik dan halal. Perkara masa hadapan itu adalah rahsia ALLAH dan ALLAH jugalah yang berkuasa mengaturnya. Berserahlah diri kepada ALLAH kerana sesungguhnya orang yang mengharapkan tali pergantungan / berserah diri/ bertawakal kepada ALLAH itu hatinya sentiasa tenang dan pasti akhirnya adalah suatu kejayaan/nikmat yang penuh hikmah. Redha lah akan ketentuan takdir yang telah ditetapkan oleh Tuhanku kepadaku."

Saya terbaca satu ayat:

"Kebenaran itu adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu JANGANLAH SEKALI-KALI ENGKAU TERMASUK DALAM GOLONGAN ORANG YANG RAGU-RAGU."

(Ayat 147; Surah Al-Baqarah)

Sekiranya aku masih lemah katakanlah “Sesungguhnya aku bertawakal kepada Tuhanku” dan “Cukuplah ALLAH bagiku”..

*********************************************************************************
Untuk abang Felani, janganlah berkecil hati dengan penulisan ini. Mungkin saya berada di fasa membina keyakinan diri / menambahkan kembali iman/kepercayaan sepenuhnya akan takdir Tuhan setelah beberapa dugaan sebelumnya. Kadangkala membuat hati kita mudah berputus asa maka dengan mudah syaitan mengambil peluang memberi kata-kata hasutan..

Saya berharap kita menjadi suami isteri yang baik di sisi agama. Pimpinlah saya menjadi isteri dan ibu yang solehah kerana kelak abang adalah pemimpin dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keluarga kita.

Abang Felani, semoga Allah menguatkan jodoh dan perasaan kasih sayang antara kita hingga ke Jannah. Ameen.

1 comment:

  1. Terbaik penulisan ini yg sangat jujur dalam isi hatinya. ALLAH sudah memberikan petunjuk kepadamu.. jalani jangan ragu-ragu kerana ia berlandaskan petunjuk ALLAH.

    ReplyDelete